KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kesemua resolusi daripada fatwa dan mesyuarat Lembaga Kawalselia Syariah tentang kewangan Islam sejak tiga dekad lalu akan diterjemah dan diedarkan ke seluruh dunia untuk meningkatkan lagi kefahaman di kalangan umat Islam.

Usaha yang melibatkan terjemahan bahan berkenaan daripada bahasa Arab kepada bahasa Inggeris dilaksanakan oleh Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFH Malaysia) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA).

 

KFH Malaysia hari ini memeterai perjanjian kerjasama itu dengan ISRA yang menyaksikan hasil terjemahan daripada tahun 1977 hingga 2009 akan dikaji dan disahkan oleh sebuah jawatankuasa cerdik pandai Syariah dan pengamal perniagaan sebelum diedarkan termasuk kepada pelanggan, ahli akademik dan institusi berkaitan. Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh KFH Malaysia dan dijangka siap dalam masa setahun. Pengarah Eksekutif ISRA, Dr. Mohamad Akram Laldin berkata: "Penyusunan hasil terjemahan dibuat berdasarkan topik manakala versi asal resolusi Syariah dalam Bahasa Arab telah diedarkan di Kuwait dan Asia Barat." Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Forum Cendekiawan Syariah Antarabangsa dan majlis menandatangani MoU antara ISRA dan KFHM yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Syariahnya, Sheikh Prof. Dr. Mohammad Abdul Razaq Al-Tabtabae.

 


Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Pada majlis yang sama, dua lagi MoU dimeteraikan pada majlis tersebut, iaitu antara ISRA dan Institut Penyelidikan dan Latihan Islam (IRTI), serta antara ISRA dan Affin Islamic Bank. Kerjasama antara ISRA dan IRTI yang beroperasi di bawah Bank Pembangunan Islam yang berpusat di Jeddah melibatkan penyelidikan dalam bidang-bidang berkaitan dengan kewangan Islam manakala kerjasama ISRA dengan Affin akan membantu bank itu memperluaskan produk-produk perbankan Islam.

Sumber : Utusan Malaysia