Pada tarikh 10 Mei 2010 bersamaan 25 Jamadilawal 1431H bertempatdi Auditorium D8, Parcel D, Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama Persatuan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) telah berjaya menganjurkan Seminar Perbankan Islam Kepada Pegawai Kerajaan.

 

Seminar ini dianjurkan untuk memberi informasi serta meningkatkan kefahaman di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam mengenai Sistem Kewangan Islam. Para peserta juga telah didedahkan mengenai asas dan kepentingan muamalat Islam dalam meningkatkan ekonomi negara. Selain itu, peserta turut didedahkan mengenai aspek-aspek yang membezakan di antara perbankan Islam dengan perbankan Konvensional. Seminar ini secara khususnya disasarkan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam industri kewangan Islam di Malaysia.

 

Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA. Seramai 700 orang peserta telah menghadiri seminar ini dan mereka terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan kakitangan kerajaan di sekitar Putrajaya, Lembah Klang dan Selangor, Kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pegawai institusi-institusi kewangan yang menjadi ahli di bawah AIBIM serta wakil-wakil bahagian di JAKIM.

 

Pengisian seminar ini telah disampaikan dengan jayanya oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Ketua Jabatan Penyelidikan ISRA. Dalam seminar ini, beliau telah membentangkan dalam dua sesi:
  1. Sesi pertama: “Falsafah Dan Prinsip Kewangan   Islam”
  2. Sesi kedua: “Perbezaan Produk Perbankan Islam dan Konvensional: Satu Analisis Kritikal”

 

Sesi soal jawab bagi kedua-dua pembentangan ini  telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta. Peserta juga dapat mengenali sistem kewangan Islam dengan lebih dekat melalui pameran kertas-kertas kajian yang dijalankan oleh pihak terlibat.

Diharapkan semoga dengan pelaksanaan seminar ini dapatlah meningkatkan pengetahuan dan kefahaman para pegawai kerajaan mengenai sistem kewangan Islam dan membantu untuk mengukuhkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia.

 

Sumber : JAKIM