KUALA LUMPUR 10 Jan. - Cagamas Bhd. (Cagamas) telah memeterai perjanjian dengan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA), sebuah entiti penyelidikan Pusat Pendidikan Antarabangsa bagi Kewangan Islam (INCEIF) untuk menaja projek buku teks.


Projek itu adalah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat yang akan diterbitkan pada tahun ini.


Pengerusi Cagamas, Datuk Ooi Sang Kuang berkata, buku teks pasaran kewangan itu dijangka memainkan peranan penting dalam menangani kekurangan dalam penulisan kewangan Islam.


Menurut beliau, pembangunan modal insan dalam kewangan Islam adalah sangat penting, menunjukkan industri itu masih muda tetapi mengalami pertumbuhan pantas.


"Berikutan itu, Cagamas berbesar hati untuk menyokong pembangunan modal insan dalam kewangan Islam dengan menaja projek ini," katanya.


Sementara itu, Prof. Bersekutu ISRA, Dr. Mohamad Akram Laldin berkata, buku teks itu mengandungi pandangan dan pembangunan kewangan Islam dan pasaran modal, prinsip Syariah, perundangan dan isu-isu berkaitan serta cabaran dalam industri tersebut.


Menurut beliau, setakat ini tiada buku teks seumpama itu di pasaran dan projek tersebut adalah yang pertama bertujuan memberi fokus kepada pasaran kewangan Islam.


Buku teks itu akan dicadangkan sebagai sumber rujukan utama bagi graduan ijazah sarjana muda dan sarjana serta golongan akademik.

Sumber: Utusan