Oleh Daliza Ariffin

bnmKUALA LUMPUR 11 Nov. - Bank Negara Malaysia (BNM) akan menerbitkan Parameter Syariah pada suku pertama tahun depan untuk piawaian amalan kewangan Islam yang lebih baik.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, inisiatif projek itu telah dimulakan dan setelah disebar luas akan menjadi piawaian rujukan semua pihak dalam mengadakan kontrak kewangan Islam.


Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan untuk mengenalpasti ciri-ciri yang perlu ada pada produk kewangan Islam yang merujuk kepada kontrak syariah seperti Murabahah, Istisna', Mudarabah, Musharakah, Ijarah dan Wadi'ah.

Katanya, ciri-ciri itu juga akan menjadi petunjuk kepada aplikasi kontrak syariah bagi produk kewangan Islam yang boleh digunapakai ketika mahu memajukan produk baru atau meningkatkan lagi produk sedia ada.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Akademi Kajian Syariah Antarabangsa (ISRA), di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tambah Zeti, dalam keadaan persekitaran pasaran kewangan yang tidak stabil, industri kewangan Islam memiliki peranan yang besar untuk menyumbang kepada keseimbangan pasaran kewangan Islam global.

''Melalui kekuatan sendiri hasil kewangan syariah, sistem kewangan Islam mempunyai mekanisme dalaman untuk menggalakkan kestabilan dan daya tahan kepada keseluruhan kewangan,'' jelasnya.

Selain itu, ketika bercakap kepada pemberita, Gabenor Bank Pusat itu mengakui bahawa pasaran kewangan tempatan turut menerima tempias daripada krisis kewangan global.

''Memang pasaran kewangan tempatan kita telah terjejas, (kerana kemerosotan secara menyeluruh) tetapi pasaran saham kita telah kembali stabil dan meningkat semula pada bulan Oktober lalu,

''Malaysia turut terkena tempias itu tetapi ia berlaku agak lewat daripada negara-negara lain,'' katanya.

 

Ditanya sama ada BNM bercadang menaikkan kadar faedah pada akhir tahun ini, Zeti berkata, pihaknya memiliki fleksibiliti untuk mengambil sebarang polisi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi pada ketika ini.

''Kami akan mengadakan mesyuarat kewangan akhir bulan ini dan kami akan mengeluarkan kenyataan selepas itu,'' katanya.

Berhubung kemungkinan kadar polisi semalaman (OPR) akan dikaji semula dalam mesyuarat berkenaan, beliau berkata ia juga akan dikaji dalam mesyuarat berkenaan.

 

''Dalam setiap mesyuarat, kami akan mengkaji OPR dan kami juga akan mengambil kira tinjauan untuk pertumbuhan dan inflasi.

''Ketika ini kadar inflasi berada pada paras sederhana menjelang tahun depan dan pada pertengahan tahun depan pula kami menjangkakan kadar inflasi menurun kurang daripada empat peratus dan seterusnya ke paras yang lebih rendah,'' kata beliau.