alt
BNM komited untuk membangunkan modal insan dengan penubuhan Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IBFIM), Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Institut Antarabangsa Penyelidikan Syariah Mengenai Kewangan Islam (ISRA) untuk menyediakan latihan, pendidikan dan penyelidikan.
 
 
 
 

Oleh Sarah Nadlin Rohim
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah selari dengan apa yang berlaku di peringkat sejagat dan bukan merupakan sesuatu yang luar biasa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

"Ini adalah aliran yang berlaku di peringkat sejagat dan bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia, tetapi ia (kejatuhan) itu berlaku juga kepada mata wang lain di dunia. "Berikutan berlakunya kejatuhan nilai, terdapat peralihan kepada dolar AS menyebabkan permintaan terhadap mata wang asing itu meningkat," katanya. Semalam, ringgit diniagakan pada paras terendah sejak tiga tahun lalu iaitu pada 3.7260. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Public Islamic Bank Bhd. (Public Islamic), anak syarikat Public Bank Bhd. (Public Bank) di sini hari ini.Zeti menjelaskan apa yang penting pada peringkat ini adalah memastikan pasaran mata wang kekal teratur.

Gabenor BNM dalam ucapan perasmiannya, Zeti berkata, keadaan ekonomi domestik kekal mencabar pada suku akan datang dan pelbagai polisi akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut. "Terdapat dua perkara yang penting dalam proses ini iaitu memastikan proses perantaraan dan permintaan domestik kekal kukuh serta rangsangan fiskal merupakan kunci kepada kesan perkembangan luar dalam usaha memastikan Malaysia kekal tumbuh apabila ekonomi global pulih.

"Dalam keadaan mencabar ini juga, institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam mempunyai peranan yang penting untuk memastikan akses kepada pembiayaan sektor swasta kekal," katanya.

Selain itu, katanya, sistem kewangan Islam Malaysia telah mengalami perubahan dengan menjadi lebih bersepadu dan berlandaskan objektif syariah. "Ini terbukti dengan rangka kerja, infrastruktur dan persekitaran yang kondusif bagi inovasi produk kewangan Islam. "Dimensi kedua transformasi tersebut adalah keperluan terhadap pelaburan dalam pembangunan modal insan, bagi memastikan lebih ramai pakar kewangan Islam dapat dilahirkan," jelasnya.

BNM komited untuk membangunkan modal insan dengan penubuhan Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IBFIM), Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Institut Antarabangsa Penyelidikan Syariah Mengenai Kewangan Islam (ISRA) untuk menyediakan latihan, pendidikan dan penyelidikan.

Zeti berkata, di samping itu, Malaysia juga perlu mengukuhkan hubungan perniagaan antarabangsa dalam pembangunan kewangan Islam.
Tambah Zeti, setakat ini Malaysia mempunyai 17 bank Islam dengan sembilan daripadanya merupakan anak syarikat kepada perbankan domestik.

"Kedudukan sistem perbankan Islam adalah merupakan komponen penting dalam sistem kewangan. Aset perbankan Islam adalah sebanyak 17.4 peratus daripada jumlah keseluruhan aset perbankan negara. "Manakala bagi pasaran bon, pasaran sukuk (bon Islam) adalah 57 peratus daripada jumlah pasaran keseluruhan pada penghujung tahun 2008," katanya.